Thursday 17 May 2012

BIASALAH TU......


“Isy. Budak-budak muda zaman sekarang. Tak habis-habis buat hal. Buang anak sana, buang anak sini. Mencuri, merempit, hisap dadah…bla…bla…Semuanya habis dibuat. Apalah nak jadi…hmmm….”

“Merungut nampak?”

“Mana tak merungutnya. Cuba baca dalam surat khabar ni. Semua berita jenayah belaka. Banyak ..yang buatnya siapa? Budak-budak mudalah!Tak tau nak kata apa lagi dah..~”

“Kau bising-bising macam ni, kau bukan anak muda juga ke?”

“ERKK..”


Biasa dengar? Dialog perbualan, dalam kalangan orang muda, hatta generasi golongan yang ‘tidak lagi muda’ sekalipun. Hakikatnya, berapa ramai antara kita yang benar-benar prihatin dengan makna sebenar-benar prihatin? Prihatin yang bukan setakat ditunjukkan melalui kritikan pedas, komen sinis, kata-kata sindiran, tetapi lebih molek ditunjukkan melalui nasihat, kata-kata perangsang, motivasi dan yang paling penting, gerak kerja dan usaha secara kolektif ke arah membina dan membangunkan semula jati diri sahabat handai kita di luar sana. Namun, jangan sekali-kali kita mengabaikan koreksi dan muhasabah diri, dek terlalu ingin “membaikkan” orang lain. Pepatah mengingatkan, jangan sampai kita menjadi ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.

Golongan-golongan seperti sahabat kita yang bermasalah di luar sana amat-amat memerlukan sokongan dan dorongan daripada insan-insan yang diharapkan dapat membantu secara ikhlas lagi sukarela. Luarannya mungkin mereka tampak keengganan untuk didekati, tetapi cubalah selami naluri hati, bertanya pada diri sendiri, siapa yang mahu dibiarkan hanyut begitu sahaja tanpa ada tangan yang menghulurkan bantuan untuk dicapai dan digapai?

Sudah sampai masanya, kita selaku generasi muda, pelapis warisan kepimpinan negara dan anak bangsa memainkan peranan yang proaktif dalam membantu “memulihkan” nilai-nilai norma yang semakin tandus dalam kalangan masyarakat, terutama yang menjurus kepada generasi muda. Jangan hanya hebat dalam berkata-kata, disanjung tinggi atas buti bicara, dihormati kerana kebaikan yang tertera, tetapi sama-samalah kita berusaha menyalurkan dan berkongsi “kelebihan” yang dimiliki dengan mereka di luar sana supaya segala manfaat dan kebaikan dapat dikongsi bersama.
Ingatlah, bulatnya bumi mengingatkan kita bahawa tidak akan ada yang terus kekal berada di atas, dan tidak akan ada juga yang akan terus terjerumus di lembah yang paling bawah. Sebut apa sahaja namanya, hatta hukum karma baik qadha’ dan qadar, semuanya terserah pada usaha masing-masing diiringi dengan petunjuk dan bantuan daripada Yang Maha Esa. Hari ini mungkin nasib mereka, masa hadapan, adakah kita rela dibiarkan begitu sahaja andai takdir Allah menguji? Na’uzubillahi min dzaalik.

Saidina ‘Ali karamAllahu wajhah telah sekian lama mengingatkan “Sekiranya ingin melihat masa depan sesuatu kaum, lihatlah golongan muda mereka.” Sampai bila kita ingin terus menunding jari, menyalahkan sesama sendiri tanpa sama-sama berusaha membaiki setiap segi? Jangan sampai penyakit yang membarah ini dibiarkan terus merebak hingga masyarakat menjadi lali. Melihat kemungkaran dan maksiat di depan mata, dan sekadar mampun berkata, “BIASALAH TU” Tepuk dada tanya iman. Selamat mengambil ‘ibrah dan pengajaran. WAllahu a’lam.


BY
WAN HAZWANI BT WAN MOHD NASIR
VICE PRESIDENT II
ISLAMIC REVEALED KNOWLEDGE AND HERITAGE STUDENTS' SOCIETY 2011/2012